Selamat berpuasa dan menjalani ibadah di bulan Ramadhan.
Jemput baca dan jangan lupa komen ya. :)
BAB 14
Hujung minggu yang
memenatkan sudah berakhir. Naani dan
Thia sudah selamat menjadi suami isteri.
Aku tumpang bahagia bila kawan baik aku kahwin dengan kawan rapat
aku. Selain daripada Thia, aku ada
seorang lagi kawan rapat iaitu Zila.
Kami bertiga adalah teman sekuliah dan satu geng. Zila pun sudah berkahwin. Maknanya dalam geng kami aku sajalah yang
masih solo.
Solo
ke, duet ke, trio ke, hidup harus diteruskan.
Meneruskan hidup bermakna kenalah menghadap wajah kacak Bos 1B3K dan
melayan kerenah bengkeng, kerek dan kurang ajarnya untuk minggu yang kedua. Ini juga bermakna kalau aku nak buat dia suka
perempuan bertudung, masa aku tinggal tiga minggu saja.
Usai
solat Subuh aku telefon emak sambil terlentang atas katil. Masa itu emak pun baru habis solat
Subuh. Abah belum balik dari surau. Kami berbual-bual kosong. Aku sekadar mahu bertanya khabar dan
melepaskan rindu kepada emak. Sudah lama
aku tidak balik kampung. Hujung minggu
ini pun tak dapat balik sebab ada majlis persandingan di sebelah Naani.
Emak
beritahu aku satu perkara yang mengejutkan.
Emak kata Nafiz singgah di rumah emak semasa dalam perjalanan balik
kampung. Nafiz tidak bagi tahu pun dia
hendak singgah. Tapi mengenali Nafiz
yang pendiam, aku tidak hairan. Yang
menghairankan ialah bila emak tanya bagaimana hubungan aku dengan Nafiz.
“Orang kawan saja dengan dia
mak.”
“Dah
lama kenal masih setakat kawan saja?
Itulah masalah kamu, ada lelaki yang baik semuanya kawan saja. Budak Azwan tu pun baik, dah jadi laki
orang. Yang hendakkan kamu lelaki yang
tak semenggah saja.” Kalau orang lain
mesti sudah rasa kecil hati dengan kata-kata emak. Tapi aku tahu emak sebenarnya sengaja
memprovok aku. Aku sikit pun tak
sedih. Sebaliknya aku sengeh lebar-lebar
walaupun emak tak mungkin nampak sengehan aku.
Aku
tukar topik perbualan. Kami bersembang
dekat sepuluh minit sebelum aku minta diri sebab sudah sampai waktu aku turun
bersarapan dengan mama sebelum pergi kerja.
Seperti biasa, akulah orang yang terawal sampai di Pejabat CEO. Kak Razia biasanya sampai tepat-tepat atau
hampir-hampir jam lapan setengah. Ketika
aku sedang menyemak temujanji, mesyuarat dan urusan sepanjang minggu ini untuk
Datin dan Bos 1B3K, seorang perempuan bertudung datang dan memberi salam sambil
tersenyum manis. Aku jawab salam sambil
angkat kepala. Lepas tu aku pejam
celikkan mata dua tiga kali. Macam tak
percaya dengan apa yang aku nampak.
“Eh,
Kak Razia ke ni?”
“Yalah. Takkan Ifa Raziah pulak.”
“Alhamdulilah! Bila start?”
“Hari
Jumaat lepas dah start pakai. Malam Jumaat tu akak baca Yaasin. Lepas habis baca tiba-tiba akak rasa sayu,
rasa macam akak dah buat satu dosa yang sangat besar. Bahu akak rasa berat.
Akak menangis tersedu-sedu atas sejadah.
Lepas menangis, macam ada yang menggerakkan hati akak untuk buka almari,
ambil tudung dan pakai. Akak tengok
wajah akak kat cermin. Akak rasa tenang.” Kak Razia bercerita. Aku sudah pun berdiri di sisi mejanya.
“Esok
pagi, macam biasalah, pagi sabtu akak dengan Abang Li bawa anak-anak sarapan
kat luar. Masa bersiap nak keluar tu
secara spontan tangan capai tudung.”
“Tahniah
kak. Saya tumpang gembira, akak dah
berhijab. Akak dan memenuhi tuntutan
agama yang diwajibkan ke atas muslimah yang sudah akil baligh.”
“Itulah,
akak pun bersyukur. Tak tau macam mana
nak kata, akak rasa lain sangatlah bila dah pakai tudung. Walaupun baru empat hari, akak rasa selesa,
selamat, tenang.”
“Dan
Kak Razia cantik sangaaaaat.” Aku pegang
bahu Kak Razia. Dia tersenyum sambil
mengucapkan syukur.
“Apa
khabar bos kesayangan kita kak?” Aku
menyoal sambil berjalan balik ke mejaku.
“Ish teruk. Mood
dia bukan ke laut, akak rasa sampai ke dasar bumi tercampaknya mood baik dia. Habis semua orang kena marah. Kak Biah yang tak ada kena mengena pun
ditengkingnya. Sampai tumpah kopi kat
situ. Mood dia baik sekejap saja, masa
Azira datang.”
Aku
memandang ke arah lantai, mengikut tundingan jari Kak Razia. Nampak ada kesan tompokan di atas karpet
sebelum pintu masuk pejabat Bos 1B3K.
“Pagi tu angin dia tak baik bila Kak
ingatkan dia yang Fina bercuti.
Tengahari tu, bila Azira datang, terus angin puting beliung dia bertukar
jadi angin sepoi-sepoi bahasa. Azira
bawakan nasi beriani untuk bos dan mereka makan bersama dalam pejabat bos. Lepas Azira balik, tukar semula jadi ribut. Azira tu bukan setakat nak jadi interior designer untuk Sri Selangor,
tapi nak pikat Encik Rifqi sekali.”
Dengan bersemangat Kak Razia bercerita.
Aku sekadar mendengar. Tiga
minggu lagi dan selepas itu aku tidak perlu ambil tahu tentang dia.
Pukul
sembilan pagi Bos 1B3K masuk dengan muka ketat.
Datin tidak ada bersamanya. Seperti
biasa dia tidak jawab salam aku dan sapaan ‘Good
morning Encik Rifqi’ dari Kak Razia.
Tapi sebelum dia pulas tombol pintu pejabatnya, dia berpusing ke arah
Kak Razia. Lepas itu dia pandang aku, pandang
Kak Razia semula dan dengan sinis dia berkata “kau orang ni tak panas ke pakai
kelubung?” Aduhai, pagi-pagi sudah bikin
hati orang panas.
“Dia
kata kita pakai kelubung!” Kata Kak
Razia. Pintu bilik Bos 1B3K sudah
ditutup dari dalam. Muka Kak Razia sudah
bertukar jadi merah.
“Biarlah
dia nak kata apa pun Kak. Yang penting
apa yang kita buat, Allah suka. Kita
doakan saja Allah terbalikkan hati dia.
Mana tau esok-esok dia jatuh cinta dengan gadis yang pakai tudung? Masa tu dia akan sedar tanggapan dia terhadap
perempuan yang bertudung salah. Sekarang
dia ingat semua perempuan yang bertudung, macam kita ni hipokrit. Entah-entah nanti bila dia nak kahwin, dia
cari yang pakai tudung.” Aku cuba
menenangkan Kak Razia.
“Wah
Fina, pandainya bercakap. Ada pasang
impian ke, bos jatuh cinta dengan kau?”
“Ish,
tak adalah kak. Apa akak ni merepek
pagi-pagi? Saya kalau nak cari suami,
nak cari yang baik-baik. Yang rajin
solat, pandai mengaji, boleh jadi imam solat untuk saya dan anak-anak. Tiap-tiap malam dia kejutkan saya bangun
tahajjud. Lepas tu setiap hari Isnin dan
Khamis kita puasa sunat sama-sama. Malam
Jumaat kita ngaji sama-sama. Mesti best!”
“Amboi
besarnya impian kau. Kalau nak tahajjud,
puasa sunat, mengaji, tak payah tunggu ada suamilah!” Kak Razia menempelak aku.
“Memanglah
kak, tapi kalau buat bersama dengan suami lagi best. Saya percaya lelaki
yang rajin beribadah adalah lelaki yang romantik.” Aku mempertahankan pendapat aku. Pendapat yang aku percaya sejak zaman aku di
universiti. Aku banyak kali nampak di
kampus dulu lelaki berjubah dan berkopiah jalan berpegangan tangan dengan
pasangannya yang berjubah dan bertudung.
Mereka masih pelajar universiti tapi sudah berumahtangga. Kadang-kadang si suami menunggu si isteri. Sekali-sekala si isteri menunggu si
suami. Seronok tengok couple yang macam
tu. Alahai, sweetnya.
Tiba-tiba
ada suara lelaki berdehem. Eh, bila
pulak Bos 1B3K berdiri depan pintu biliknya? Dia merenung tajam ke arahku. Terus menghilang dari minda bayangan aku dan
Nafiz berjalan berpegangan tangan di atas sebuah padang yang menghijau. Kacau daunlah si 1B3K ni!
“Kopi
aku mana?” Sebaris ayat ditanyakan
dengan nada suara yang sungguh tidak mesra telinga.
“Ini laporan
daripada Jabatan IT. Yang lain-lain ni
dokumen untuk bos tandatangani. Saya nak
ingatkan saja mulai minggu ini bos kena melawat semua resort milik Duta
Holidays. Esok ke Bagan Lalang, Rabu ke
Melaka, Khamis pagi ke Kuantan dan Isnin depan ke Ipoh.” Aku katakan kepadanya sambil meletakkan mug
berisi kopi, fail dari Jabatan IT dan dokumen-dokumen lain di hadapannya.
“Kau
dah bagi tau pengurus di setiap resort kita tentang lawatan aku?”
“Saya
baru maklumkan kepada Mr Selvam di Bagan Lalang. Yang lain, belum.”
“Don’t tell them. I want to do spot checks on them.”
Aku
mengangguk sambil mencatat apa yang perlu.
“Hari
Sabtu ni majlis persandingan Azwan. Saya
nak ingatkan bos untuk bawa Datin dan Dato’ ke majlis tu. Bos belum belikan hadiah untuk Azwan. Biasanya syarikat akan beri wang tunai
RM500.”
Nasib
baiklah Kak Razia beritahu aku minggu lepas, kalau tidak aku langsung tidak
tahu yang hal-hal hadiah kahwin untuk pekerja pun PA kena ingatkan bos. Kata Kak Razia, sebelum-sebelum ni bila ada
kakitangan yang melangsungkan perkahwinan Dato’ dan Datin akan bagi wang dan
minta Naani belikan hadiah. Naani pula
mengagihkan tugas membeli hadiah itu
kepada dia. Dan Kak Razia dengan senang
hati menjalankan tugas itu sebab dapatlah dia membeli belah di waktu pejabat.
“Datin
macam mana bos? Masih tak sihat?” Aku tanya soalan itu bila dia tidak bagi
sebarang reaksi pasal hadiah untuk Naani.
Walaupun aku cuti hari Jumaat lepas, aku dapat whatsapp dari Kak Razia
yang memaklumkan aku bahawa Datin tidak masuk pejabat sebab tekanan darahnya
naik.
Dia
tidak jawab soalan aku. Sebaliknya dia
bersandar dan mendongakkan kepalanya.
Matanya dipejamkan. Dia tarik
nafas panjang sebelum melepaskan nafasnya dengan keras. Eh, apahal pulak dia ni? Aku tidak tahu apa nak buat.
“Bos,
are you okay?” Akhirnya aku tanya. Risau juga sebab sudah agak lama dia pejamkan
mata sambil mendongak.
Bos
1B3K membuka matanya. “I am not okay.” Katanya dalam keadaan
kepalanya masih didongakkan. Tiba-tiba
dada aku berdebar. Seriuskah masalah
kesihatan Datin?
“Tekanan
darah mummy dah stabil hujung minggu
lepas… tapi malam tadi… naik balik. Daddy pula buat perangai. Dia tak mau makan. Kalau dia tak makan macam mana nak bagi
ubat?” Dia melepaskan keluhan sebelum bersandar
seperti biasa.
“Aku
seorang kat sini, mana nak uruskan syarikat, nak jaga mummy dan daddy
lagi. Angah ada di Bandung sekarang, Kak
Long sibuk dengan urusan keluarga dia di Alor Setar.” Dia nampak sedih dan risau. Tidak ada lagi wajah bengis dan sombong yang
biasa aku lihat. Bos 1B3K bangun dan
berdiri mengadap tingkap.
“Bos
kena pujuk Dato’. Pujuklah dia
baik-baik. Kita kena ingat bos, walau
sehebat mana pun kita, betapa berjayanya kita, selagi mak bapak kita masih
hidup… kita kena berbakti kepada mereka.
Apa guna jadi orang kaya, successful,
hebat tapi… hubungan dengan orang tua kita tak elok. Itu maknanya kita belum berjaya.”
Macam
terngiang-ngiang di telinga suara emak memberi nasihat dan kata-kata yang aku
ucapkan kepada Bos 1B3K sebenarnya adalah apa yang emak pesan kepada aku, Along
dan Kak Ngah masa kami remaja dulu. Masa
itu aku baru habis peperiksaan PMR. Emak
pesan begitu selepas kami usai bersalam dan minta ampun kepada emak dan abah di
pagi raya.
“Satu
lagi bos, carilah punca kenapa tekanan darah tinggi Datin naik. Kalau sebab makanan, bos boleh pesan kat
bibik masak makanan yang sesuai dengan keadaan kesihatan Datin. Kalau sebab stress, kenalah tolong Datin kurangkan stress tu. Kalau stress sebab hal pejabat, bos handlelah hal-hal pejabat dan biar Datin
berehat. Saya akan tolong bos. Tapi kalau punca stress tu berkaitan dengan hal bos dengan pelakon tu….”
Sengaja
aku tidak habiskan ayat. Mesti dia faham
maksud aku. Aku agak mesti ada lagi
gosip pasal Bos 1B3K dan pelakon tak cukup kain tu. Atau pun mungkin ada perbalahan lagi antara
Bos 1B3K dan Datin.
Bos
1B3K berpaling. Tangannya masih mencekak
pinggang. Wajahnya masih beriak sayu. Dia
bertanya “kau fikir akulah punca mummy
stress?”
Aku
yakin Datin tertekan dengan perangai Bos 1B3K sebab itu yang pernah Datin
luahkan kepadaku. Datin malu dengan
kenalan dan saudara mara setiap kali gosip mengenai Bos 1B3K dengan pelakon
disiarkan di suratkhabar atau internet. Tapi
Datin juga bersimpati dengan nasib anak bongsunya yang pernah dikecewakan oleh
gadis yang amat dicintainya. Atas sebab
itu Datin agak berlembut dengan Bos 1B3K, kecuali apabila beliau benar-benar
sudah tidak tahan dengan kerenah anaknya.
Tapi
bila memandang wajah Bos 1B3K yang sayu, mulut becok aku tiba-tiba jadi
sunyi. Aku rasa cukuplah dengan apa yang
aku sudah katakan, jadi aku pun berdiri untuk keluar dari bilik Bos.
“Wait.
Sit down.”
Aku
duduk semula.
“Jawab
soalan aku tadi.” Walaupun wajah dia
sayu, suara dia tegas dengan gaya seorang bos memberi arahan kepada orang
bawahannya.
“Err…
saya…”
“Speak your mind.”
Dia
suruh aku berterus terang. Boleh
ke? Nanti jangan pula selepas aku
berterus terang dia tengking aku. Aku
tak suka orang cakap kasar dengan suara menengking kepada aku. Dalam banyak-banyak lelaki yang aku kenal,
Bos 1B3K inilah lelaki yang paling banyak mengherdik aku. Walhal baru masuk minggu kedua aku jadi PA
sementara dia.
“Fina.” Dia panggil aku dengan suara bernada keras. Wajahnya masih keruh.
“Ya. Datin ada cakap dia stress bila ada cerita pasal bos dengan pelakon tu keluar di
media.” Akhirnya aku berterus terang
juga. Kebenaran itu pahit, tapi ubat
juga pahit. Untuk kebaikan dia aku harus
berterus terang.
“Datin
juga risau bila bos selalu keluar, habiskan masa bersosial dengan kawan-kawan
dan Datin sedih sebab bos… bos tak solat.”
Aku
rasa adalah satu perkara yang memalukan apabila terpaksa memberitahu seorang
lelaki Islam yang berusia 32 tahun tentang dosa meninggalkan solat. Pastinya dia tahu bagi orang Islam solat itu
wajib dan ibadat pertama yang akan disoal oleh malaikat nanti ialah ibadat
solat.
Dia
berpaling semula ke arah dinding kaca dan memandang ke luar. Lama dia bermenung. Aku yang menunggu sudah naik rimas. Aku berdiri.
“Bos,
kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu.”
Aku katakan kepadanya yang sekarang berdiri memeluk tubuh sambil
memandang ke arah dinding kaca jernih.
Tidak lama selepas aku kembali ke
mejaku, telefon aku berbunyi. Dato’
Richard Yeoh di hujung talian. Naani ada
bagi tahu Dato’ Richard Yeoh rapat dengan Dato’ Ibrahim tapi Bos 1B3K tidak
berapa suka Dato’ Richard. Apa masalah
Bos ni, ada saja orang yang dia tidak suka?
Selepas meletakkan ganggang telefon aku masuk semula ke bilik Bos.
“Bos, maaf ganggu.”
Dia sedang khusyuk membaca dokumen
depan matanya. Aku nampak banyak
contengan atas kertas tu. Agaknya
selepas ini Ketua Jabatan IT pula kena belasah dengan Bos 1B3K. Aku capai beberapa dokumen yang dia sudah
tandatangani.
“Dato’ Richard telefon tadi. Dia tanyakan khabar Dato’. Saya beritahu Dato’ tak berapa sihat. Dato’ Richard kata nanti-nanti bila dia free, dia akan melawat Dato’. Dia juga kata bos dah lama tak main golf.”
“Dia nak ajak aku main golf ke?”
“Not
really. Dia cuma cakap dah lama tak
main golf sama Rifqi.” Aku cuba mengajuk
gaya Dato’ Richard bercakap.
“Aku tak minat main golf. Selama ni aku main sebab temankan daddy.”
Bos 1B3K mengeluh. Di wajah dia masih ada riak kesedihan. Walau pun aku simpati dengan keadaan dia, aku
suka juga bila dia bersedih sebab dia tak bengkeng.
“Selama ni… apa yang aku buat… hanya
untuk gembirakan hati orang lain. Hati
aku…”
Suara dia perlahan. Dia pusingkan kerusi ke arah dinding
kaca. Kemudian dia bangun dan berdiri
tepi dinding kaca itu. Aku tidak tahu
apa yang patut aku lakukan atau katakan kepadanya. Aku malas hendak tahu masalah dia. Jadi aku palingkan tubuh dan berjalan ke arah
pintu.
“Fina.”
Aku berhenti melangkah dan pusingkan
tubuh mengadap Bos.
“Tengahari nanti ikut aku pergi lunch.”
Lunch
dengan dia? Boleh tak aku kata ‘tak
nak’?
No comments:
Post a Comment