Dalam kesibukan dan kesedihan, alhamdulillah dapat juga disiapkan bab ini.
Selamat membaca, semoga terhibur dan beri komen ya.
Terima kasih.
BAB 13
Sedap betul bacaan
dan lenggok suara Nafiz ketika dia membaca surah masa solat tadi. Sebutan dia jelas, tajwidnya betul dan aku
rasa macam sedang solat berimamkan orang Arab.
Untunglah siapa dapat Nafiz sebagai suami. Kacak, sopan, alim, pandai mengaji. Hmm, memang itulah kriteria lelaki idaman
aku.
Selepas
bersolat kami duduk di ruang tamu. Umi
Sarah datang menatang sebiji dulang berisi sepiring biskut Marie, seteko teh
‘o’ dan empat biji cawan tanpa piringnya.
Aku tuangkan teh dan Umi Sarah hulurkan cawan kepada Abi Yusuf, Nafiz
dan satu cawan teh ‘o’ untuk dirinya sendiri.
“Abi panggil Nafiz dan Fina sebab kamu berdua
dah lama tolong Abi dan Umi di sini.
Sukarelawan yang lain tu datang dan pergi tapi kamu berdua sudah dua
tahun masih setia membantu kami di sini.”
Abi Yusuf bersuara.
Aku
dan Nafiz diam, sama-sama menunggu apa yang Abi Yusuf akan cakapkan lagi. Aku pandang Nafiz, dia sedang merenung Abi
Yusuf. Hmmm, kacaknya Nafiz. Rambut dia masih basah sikit-sikit akibat
dari berwudhu’. Kening dia lebat. Janggut halus di bawah dagu dia membuatkan
dia kelihatan oh… so sweet.
“Baru-baru
ni ada orang datang, dia tanya Rumah ni berdaftar tak dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat. Abi beritahu akaun sudah
dibuka, submission kepada Jabatan
Kesihatan, Bomba dan Majlis Perbandaran juga sudah buat tapi belum
diluluskan. Orang itu kata dia sanggup
tolong. Dia kata lagi, kalau sudah
berdaftar senang sikit nak minta bantuan kewangan dari JKM.”
“Jadi
orang tu nak tolong apa?” Soal Nafiz.
“Dia
akan tolong follow-up dengan tiga
agensi tu. Katanya dia kenal orang yang
boleh tolong. Bukan itu saja, orang itu
juga nak derma sejumlah wang yang banyak.”
“Berapa banyak Abi?” Aku pula bertanya.
“Dia
tak nak bagi cash tapi dia cadangkan
bina sebuah bangunan baru dan dia akan tanggung kos pembinaan. Dia cadangkan buat bangunan dua tingkat. Bawah dewan serbaguna, atas bilik tidur
anak-anak, bilik mandi dan tandas.”
Dagu
aku jatuh! Siapalah yang pemurah sangat,
sanggup membiayai kos pembinaan yang aku rasa tentu tinggi?
“Subhanallah, baiknya orang tu. Semoga Allah bagi ganjaran kepada dia. Siapa orang tu Abi?” Nafiz berkata.
Abi Yusuf menggelengkan
kepalanya. “Abi tak boleh bagi tau. Dia minta rahsiakan identitinya.”
“Dia pernah datang sini ke?” Aku pula menyoal.
“Pernah. Selepas tengok keadaan anak-anak yang
berhimpit solat, makan dan buat homework
di ruang belakang tu, dia rasa simpati.
Itu yang buat dia nak menyumbang.”
Dalam
hati aku mula tertanya-tanya siapalah dermawan yang baik hati tu. Orang kaya agaknya, sebab tu dia mampu
tanggung kos pembinaan. Tapi tidak
kisahlah kaya ke tidak, yang penting dia mahu menyumbang dan dia pilih Rumah
Anak Yatim Umi Sarah. Rumah ini sangat
istimewa bagi aku kerana di sinilah permulaannya aku melibatkan diri dalam
kerja-kerja amal. Semuanya bermula
apabila Thia meminta aku menggantikan dirinya yang demam untuk membantu Nafiz
mengecat rumah ini. Dan di sinilah juga
aku bertemu dengan Nafiz. Lelaki budiman
yang baik… alim… berwawasan… lemah lembut bicaranya… pandai mengaji… hensem.
“Fina!” Aku tersedar dari lamunan bila suara Umi
Sarah memanggil aku dengan agak kuat menyapa telinga. Tiga pasang mata sedang memandang ke arah aku
rupa-rupanya.
“Dah sampai ke mana anak dara ni?” Soal Umi Sarah dengan nada bergurau. Alamak, asal aku teringatkan Nafiz mesti terleka. Hari tu terlanggar dinding kaca lobi, malam
ni tak dengar Umi Sarah panggil. Ish,
aku ni dah jatuh cinta kepada Nafiz ke?
“Sorry umi, Fina terleka memikirkan siapa
yang orang baik hati tu.” Terpaksa aku
cipta alasan palsu.
“Tak
payah fikirlah Fina. Doakan saja orang
itu dirahmati Allah dan diberi ganjaran atas kebaikannya. Abi yakin dia bagi sumbangan dengan ikhlas,
tanpa mengharapkan bantuan.” Betul kata
Abi Yusuf, aku mengangguk.
“Abi
tanya tadi, kalau Abi terima sumbangan orang tu, Fina tak boleh mengajar
taekwando buat sementara waktu. Tak apa
ke Fina?”
“Eh
tak apa Abi, Fina boleh buat aktiviti lain untuk adik-adik. Lagi pun dua minggu akan datang Fina
sibuk. Nak tolong di majlis kahwin kawan
dan nak balik kampung.”
“Alhamdulillah. InsyaAllah dalam masa terdekat ni kontraktor
dia boleh mulakan kerja. Abi jangka akan
ambil masa 7, 8 minggu untuk siap semuanya.
Kebetulan tak lama lagi cuti sekolah, anak-anak ada yang akan balik
kampung. Razak dan Rahman pun akan cuti
semester tak lama lagi, bolehlah mereka tolong apa yang patut.”
Pemasaan
yang sangat bagus. Razak dan Rahman
adalah anak kembar Abi dan Umi. Razak
belajar di UITM Segamat, Rahman di UITM Arau.
Bolehlah mereka menolong ibu bapa mereka mengemas sekitar kawasan Rumah
ini. Aku pun boleh pergi majlis nikah
dan persandingan Naani dan Thia dan balik kampung dengan senang hati. Adik-adik di sini biasanya akan bising kalau
aku lama tidak jenguk mereka.
Usai
berbincang aku meminta diri untuk pulang.
Esok kena kerja dan perlu mengadap si 1B3K lagi. Teringat gelagatnya semalam, aku jadi
gerun. Ada ke patut dia follow aku masuk butik pakaian dalam
wanita? Apa motif dia? Nak takutkan aku agaknya. Okey Fina, buang rasa gerun tu jauh-jauh. Kalau kau takut, dia menang. Kau tentu tak nak kalah dengan dia kan?
“Saya tak dapat hadir majlis nikah
Thia. Ada kenduri di kampung, di sebelah
ayah saya.” Kata-kata Nafiz mengusir
ingatan terhadap perbuatan si bengkeng @ kerek semalam. Nafiz mengiringi aku berjalan ke arah
skuterku. “Esok saya balik kampung.”
“Sabtu
ni tak pergi Masjid India?”
Nafiz
menggeleng sebelum berkata “Ahad baru saya balik KL. Kalau awak nak join bagi orang gelandangan makan, boleh pergi terus ke Masjid
India. Kalau nak pergi dari Rumah An Nur
pun boleh, nanti saya bagi tau Abang Latif.”
“Tak
apa. Saya boleh pergi sendiri. Saya pun tak pasti lagi boleh pergi ke tidak.” Sebenarnya aku boleh pergi sebab Majlis
Persandingan Thia dan Naani dibuat pada hari Jumaat, pukul 8 malam. Mereka akan bernikah pada pagi Jumaat. Tapi bila Nafiz kata dia tak pergi, aku pun
rasa macam tidak mahu pergi menolong mengagihkan makanan untuk orang
gelandangan.
Aku
capai helmet dan hidupkan enjin motor.
Nafiz menunggu sehingga aku berlalu sebelum dia masuk ke dalam
keretanya. Gentleman sangat!
Biasanya aku
sampai ke pejabat sepuluh atau lima belas minit sebelum jam 8.30 pagi. Tapi pagi ini lambat sikit kerana hujan. Udara terasa dingin disirami hujan pagi yang
aku yakini penuh dengan rahmat. Tapi
hati aku pantas bertukar panas sebaik saja aku sampai di pejabat.
“Kenapa lambat?”
Baru pukul 8.40, maknanya aku lambat
sepuluh minit. Kalau ikut peraturan
sumber manusia, lewat sepuluh minit masih boleh dimaafkan. Tapi Bos 1B3K marah seolah-olah aku sudah
membuat satu kesalahan besar. Kot ya pun
nak marah aku datang lambat, tunggulah aku letak barang-barang dulu. Macam mana hati aku tidak panas?
“Maaf bos, hujan lebat sangat pagi
ni. Saya tunggu hujan reda baru boleh
keluar rumah. Kalau saya redah juga
hujan tadi, basah kuyuplah saya. Awal
bos datang pagi ni.” Aku cakap dengan
selamba sebab memang aku selamba orangnya.
“Ni syarikat bapak aku, suka hati
akulah nak masuk pukul berapa.” Dia
berkata dengan garang sebelum masuk ke dalam biliknya. Pintu dibiarkan terbuka.
Aku tekan suis komputer. Niat di hati hendak memeriksa jadual Datin
dan Bos 1B3K untuk hari ini. Selepas itu
aku akan buka kotak emel untuk memeriksa emel.
Niat aku terbantut apabila Bos 1B3K menjerit memanggil aku. Aku segera menuju ke biliknya dan baru saja
aku sampai di jenang pintu dia melaung.
“Tolong
belikan nasi lemak sedap macam yang kau pernah belikan dulu. Dua bungkus.
Satu lauk paru goreng, yang satu lagi rendang daging. Teh tarik dua. Siapkan pinggan, sudu-garpu dan teh tu kau
bubuh dalam mug.”
Ish,
dia ingat aku ni pelayan restoran ke?
Apalah teruk sangat kerja PA ni, sampai sarapan bos pun aku kena
uruskan? Naani dulu kena macam ni juga
kah, atau si 1B3K ni sengaja nak membuli aku?
Dengan
hati yang membara aku kembali ke meja.
Nombor telefon Restoran Ketumbar aku dail dan selepas membuat pesanan
aku menelefon ke pantri pula. Aku pesan
kepada Kak Biah apa yang dikehendaki oleh bos.
Sebaik saja aku meletakkan telefon, Bos 1B3K melaungkan namaku lagi.
Ketika
aku melangkah menghampiri mejanya, dia sedang berdiri dan mencapai tiga helai
tali leher dari tiang penyangkut yang terletak di tepi dinding.
“Yang
mana sesuai dengan baju aku?” Katanya
sambil mengacukan ketiga-tiga tali leher ke badannya.
Aduh,
tadi kena uruskan sarapan dia. Sekarang kena
pilihkan tali leher pula. Biasanya dia
pakai siap-siap dari rumah. Agaknya
hendak cepat pagi ini sampai tidak sempat pakai tali leher.
“Yang
itu?” Aku tunjuk ke arah tali leher yang
kanan sekali.
“Yang
ini?” Soalnya sambil menyuakan tali
leher yang kiri sekali.
“Bukan. Yang ini.”
Aku rapat kepadanya dan menunding jariku ke arah tali leher yang aku
maksudkan. Suara aku sudah naik sedikit.
Hati aku geram sangat sebab pagi-pagi sudah kena sembur dengan dia,
lepas tu kena pesankan sarapan dia dan sekarang kena pilihkan tali leher dia
pula.
“Oh
yang ini. Kau pandai ikat tali
leher?” Katanya sambil menyangkut semula
dua helai tali leher yang tidak diperlukan.
Soalannya tidak aku jawab.
“Nah.” Ujar Bos 1B3K sepatah sambil menghulurkan
tali leher yang aku pilih kepadaku.
“Tolong ikatkan.”
Arahannya
membuatkan aku pegun. Takkan dia tidak
tahu ikat tali lehernya sendiri?
“Tak
reti ke?” Dia bertanya dengan suara yang
sedikit garang dan dahi yang sudah berkerut.
Bukan
aku tak retilah. Tapi aku tak sudi. Apa kes pula aku kena ikatkan tali leher
kau? Ada tangan ikatlah sendiri. Semua ayat itu hanya berbunyi dalam hati
aku. Aku capai juga tali leher yang
dihulurkan dan dengan langkah yang terasa sangat berat aku menghampiri Bos
1B3K.
Seumur
hidup aku belum pernah aku memakaikan mana-mana lelaki tali leher. Seumur hidup aku juga belum pernah aku
berdiri serapat ini di hadapan mana-mana lelaki. Haruman yang dipakai oleh Bos 1B3K menerpa
masuk ke rongga hidungku. Sedap baunya,
sesuai dengan tubuhnya yang sedikit kurus tapi segak. Dada aku berdentam dentum seolah-olah lagu
Gangnam Style dimainkan dalam dada aku.
Tali
leher itu aku sangkut di tengkuknya. Walaupun
aku masih ingat cara mengikat tali leher, tangan aku tiba-tiba kaku. Aku tidak tahu sama ada ia hanya sekadar
perasaan, tapi aku merasakan mata Bos 1B3K menerawang di seluruh wajahku. Pipi aku membahang. Akhirnya aku angkat mataku dan pandanganku
terus bertaut dengan pandangannya. Mata
dia biasa-biasa saja, anak mata dia hitam macam mata orang Melayu. Renungan matanya jauh ke dalam, seolah-olah
dia tenggelam dalam mata aku. Tiba-tiba dia seperti tersedar lalu mengalih
pandangannya.
“Kau
tak tahu ikat tali leher kan? Tapi sengaja
nak berdiri rapat-rapat dengan aku?
Perempuan pakai tudung ni bukan boleh percaya. Nampak baik tapi… gatal.”
Amboi
mulut! Memang nak kena dia ni. Aku tajamkan renunganku. Tadi bagai ada lagu Gangnam Style dalam dada
aku. Sekarang sudah tidak ada lagu lagi,
yang ada guruh yang sedang meletup kuat.
Kalau diikutkan hati hendak saja aku cekik leher dia dengan tali
leher. Tapi aku kan seorang pekerja
bertudung yang profesional.
Maka
dengan suara yang dilembutkan aku berkata, “maafkan saya bos, saya bukan tak
tahu tapi tak hingin buat. Kalau saya perlu pakaikan tali leher untuk
seorang lelaki, lelaki itu mestilah abah saya, along saya atau suami saya. Dan kalau saya nak menggatal, saya akan pilih
lelaki yang lebih baik dari bos.”
Wajah
dia berubah. Aku lepaskan tali leher,
naikkan kening dan berpusing. Ketika itu
juga satu suara dengan lembut memberi salam dan bau harum manis yang sudah aku
kenali menyergah rongga hidungku. Azira
dengan tersenyum simpul berjalan ke arah kami dengan lenggok menggoda. Bos 1B3K dengan mesra menegur Azira sambil
tersenyum. Aku juga hadiahkan senyuman
kepada Azira walaupun dengan hati yang sedang terbakar amat payah untuk bibirku
melakar senyuman.
“Fina.” Bos 1B3K memanggil dengan lembut ketika aku
berjalan keluar dari biliknya. Aku yakin
kalau Azira tidak ada tentu dia melaung memanggil aku.
“I am having breakfast with Azira. Bila nasi lemak sampai nanti, terus hantar ke
dalam. I don’t want to be disturbed.”
Me too. Bisik hatiku.
Kenapalah si 1B3K ini harus mengganggu hidup aku? Ini semua Naani punya pasal!