Sunday, 17 July 2016

LEMANG BUAT KEKASIH

Assalam.  Selamat hari raya, mohon maaf zahir dan batin sekiranya ada kesilapan saya.  Jemput baca cerpen terbaru.  Cerpen ini bertemakan hari raya dan ia ditulis sebagai latihan dari Grup Penulis Muda yang sama2 attend Bengkel Penulisan Kreatif.

Semoga terhibur dengan sambung kisah Andy dan Ain.


LEMANG BUAT KEKASIH

Andy mundar mandir di ruang tamu.  Hidungnya kembang kempis.  Tangannya sekejap di atas dada, sekejap di atas perut.  Hebat sungguh dugaan berpuasa di hari terakhir bulan Ramadhan.  Kalau hari-hari sebelum ini dia hanya bertabah menahan lapar dan dahaga serta berasa letih, hari ini dugaannya naik setingkat.  Letih tidak terasa kerana dia tidak menjaga kedai dedak papanya.  Lapar dan dahaga juga tidak terasa kerana seharian dia di rumah saja.  Tapi menghidu aroma dari arah dapur betul-betul mencabar keimanan.  Bau rendang yang sedang menggelegak bersilang dengan bau kek yang sedang dibakar membuatkan Andy tak senang duduk.

                “Andy,” suara bapa mentuanya membuatkan Andy berpaling.  Ramli tersenyum sambil menghampiri menantunya.  Kertas putih bersaiz A4 dihulurkan kepada Andy.

                “Bacalah, supaya malam ni kamu tak rasa kekok masa kita bertakbir.”  Ujar Ramli sambil sebelah tangan diletakkan di atas bahu menantunya.  Ramli memahami riak wajah Andy yang keresahan.

                “Terima kasih ayah,” balas Andy sambil cuba tersenyum. 

                “Sama-sama.  Ayah nak ke belakang, tolong emak kamu isi pulut.  Lepas Asar ayah nak mula bakar lemang.”  Tanpa menunggu jawapan dari menantunya, Ramli terus berpaling.  Dia sudah tidak sabar hendak menyiapkan lemang. 

Andy memandang bapa mentuanya dan kemudian berkalih pandang ke arah kertas putih yang diberikan oleh Ramli sebentar tadi.  Sambil lidahnya menuturkan kalimah Alhamdulillah, Andy menapak keluar dari rumah.  Betapa dia bersyukur keluarga Ain sentiasa membantunya untuk menjadi seorang muslim yang baik.  Selipar disarung lalu langkahnya diatur ke arah pokok mangga yang jauh di halaman rumah.  Harapannya bila dia jauh sikit dari rumah, lebih mudah dia memberi tumpuan kepada bacaan takbir yang harus dipelajarinya. 

Allahu akbar… Allahu akbar… Allahu akbar
La ilaha illallahu Allahu akbar
Allahu akbar wa lillahil hamd

Bibir Andy bergerak mengikut huruf-huruf jawi dan rumi yang tertera di atas kertas putih dalam pegangannya.  Terus hilang dari mindanya gangguan dari aroma rendang dan kek yang menggugat kesempurnaan ibadah puasanya sebentar tadi.

“Ah ko!  Ah ko!”  Suara yang datang dari depan menyebabkan Andy mengalih pandang dari kertas ke depan.  Kelibat Siew Lin, adik perempuannya yang sedang menunggang skuter pantas menyapa mata Andy.  Wajah cemas Siew Lin menyebabkan Andy bingkas bangun.

“Kenapa sai mui?”  Andy terus bertanya dalam Bahasa Kantonis.   Dengan kelam kabut Siew Lin memberhentikan skuternya.

“Papa!  Cepat balik!”  Riak di wajah dan nada suara Siew Lin mengisyaratkan sesuatu yang kurang enak kepada Andy.

“Kenapa papa?”  Tanpa menanti jawapan dari Siew Lin, Andy terus melompat naik ke atas skuter.    Siew Lin membuat pusingan dan skuter ditunggang terus ke jalan besar.

Siew Lin terus meluru masuk sebaik saja skuter diberhentikan di rumah mereka.  Andy pula teragak-agak hendak masuk.  Kakinya mara setapak, namun kaku setapak lagi.  Sudah dua minggu dia tidak pulang ke rumah keluarganya.  Bukan kerana dia sudah melupakan mereka.  Malahan dia rindukan mereka.

                ‘Allah,’ bibirnya berbisik.  Nafas dihela sedalam yang boleh.  Tangisan mamanya semakin jelas di telinga.  Lantaklah.  Biar apa pun penerimaan papa nanti, dia tak peduli.  Langkah dihayun kemas, sekemas tekad hatinya.

                Wajah tua papanya yang kelihatan lesu di pembaringan dipandang sekilas sebelum Andy menghampiri mamanya.  Dicium tangan dan pipi mamanya.  Airmata mamanya diseka.  Seperti ada sinar kelegaan dalam renungan mata Madam Lim apabila anak sulungnya kini ada di sisi.

                “Tengoklah papa kau Andy.  Sudah empat hari tak boleh bangun.  Siew Lin nak bawa ke hospital dia tak mau.”  Kata Madam Lim sambil diiringi esakan.  Andy beralih ke papanya.  Dia duduk di birai katil. Tangan papanya yang terdampar lesu di pinggir katil diraih.

                “Papa.”  Andy memanggil dengan suara perlahan.  Tangan papanya diusap lembut.  Wajah lesu papanya ditenung dengan rasa belas dan risau.  Perkataan papa diseru lagi, kali ini dengan suara yang lebih kuat.

                “Papa, ah ko sudah balik.  Bukalah mata,” kata-kata Siew Lin menyebabkan Andy berasa seperti ada seketul batu menyekat kerongkongnya.  Rasa bersalah menyelinap masuk ke tangkai hati.  Aku kah punca papa sakit teruk begini? 

                Dengan perlahan-lahan Lim Boon Yaw membuka matanya.  Hanya itu yang termampu dilakukan.  Sejak empat hari yang lepas dia tidak berupaya melakukan apa-apa melainkan berbaring saja.  Dia berasa sangat lesu, sehingga berdiri sesaat pun dia tidak larat.  Hendak ke tandas dia perlu dipapah.  Makan minumnya di atas katil. Kedai menjual makanan haiwan peliharaan miliknya sudah empat hari tidak dibuka. 

                 “Papa, maafkan saya.  Saya tak tau papa sakit.  Mari saya bawa papa pergi hospital,” dengan pantas Andy bersuara sebaik saja papanya membuka mata.  Dia tidak mahu berlengah lagi kerana selepas empat hari tentu keadaan papanya semakin teruk.  Namun usahanya tidak semudah yang disangka.

                Boon Yaw menarik tangannya yang sedang diusap oleh Andy.  Wajahnya dipalingkan ke kiri.  Bukan tubuhnya saja yang sakit, hatinya juga terluka.  Walaupun dia sakit teruk, dia tak perlukan anak derhaka di sisinya.

                “Lo… por.  Suruh.  Dia.  Pergi.”  Dalam nafas yang tersekat-sekat Boon Yaw berkata kepada isterinya.  Madam Lim menggeleng sambil menyambung tangisannya.

                “Sudahlah lou kong.  Jangan marah-marah lagi.  Awak sudah sakit, sepatutnya awak bertenang.  Apa pun Andy anak kita.  Dia balik tengok awak.  Dia nak bawa awak pergi hospital.  Maafkanlah dia.”  Madam Lim memujuk suaminya.  Renungannya dilemparkan ke arah Siew Lin, memberi isyarat agar anak perempuannya turut memujuk suaminya yang memang sejak muda sangat keras kepala.

                “Dia.  Bukan.  Anak.  Aku.”  Dalam suara yang tersekat-sekat namun bernada marah Boon Yaw bersuara.  Walau tubuh sudah lesu, kedegilan Boon Yaw sedikit pun tidak berkurangan.  Andy tahu tentang itu.  Madam Lim dan Siew Lin juga tahu.  Boon Yaw kalau sudah berkata hitam, hitamlah.  Siew Lin merapati papanya lalu duduk di tubir katil.  Dia mahu memainkan peranannya dan dia mahu melakukannya dengan keras.

                “Papa!  Sudah-sudahlah tu.  Papa sudah sakit macam mau mati tapi masih mau degil.  Masa sihat marah, masa sakit pun masih mau marah.  Bila Andy tak balik papa bising.  Sekarang Andy sudah balik, jangan buat sombonglah papa.  Mari kita pergi hospital sekarang.” 

                Andy mengerling ke arah Siew Lin.  Kepalanya digoyang ke kanan dan kiri, menandakan dia tidak suka dengan cara Siew Lin menegur papa mereka dengan suara yang tinggi.  Walau pun apa yang dikatakan oleh Siew Lin itu betul, cara dia menyatakannya salah.  Siew Lin menunduk.  Betul kata mama, abangnya sudah banyak berubah sejak masuk Islam.  Dulu Andy lebih garang dan cepat marah.  Tapi sekarang Andy sangat tenang.

                “Lin, siapkan kereta.  Mama, tunggu di tempat duduk belakang.”  Andy memberi arahan.  Pedulikan amarah atau rajuk papa.  Apa yang harus dilakukan, mesti dilakukan sekarang.  Andy bangun dan mendekati papanya.  Lengannya disua dan sepantas kilat tubuhnya papanya diangkat.  Dia tahu tindakannya akan menyebabkan papanya lebih marah kepadanya, tapi itulah tindakan terbaik buat masa ini.

                Tubuh yang lesu tidak sepadan dengan mulut yang masih bernafsu memarahi anaknya.  Boon Yaw menjerit-jerit minta diturunkan, diselang seli dengan maki hamun.  Andy terus bergerak ke pintu tanpa menghiraukan makian papanya.  Sampai di luar Siew Lin sudah menghidupkan enjin dan membuka pintu belakang.  Madam Lim cepat-cepat masuk ke dalam kereta bila melihat Andy muncul.  Senyuman disorokkan walaupun hatinya sudah sedikit lega.



Allahu akbar… Allahu akbar… Allahu akbar.  Bunyi orang bertakbir kedengaran dari peti televisyen yang dipasang di ruang menunggu hospital.  Bibir Andy bergerak-gerak mengikut alunan bacaan takbir.  Tubuhnya disandarkan sambil matanya dipejamkan.  Siew Lin duduk di sebelahnya, Madam Lim pula duduk di kerusi yang paling hujung.  Mereka sama-sama menanti Boon Yaw yang sedang diperiksa oleh doktor. 

                “Ah ko, kau baliklah dulu.”  Kata Siew Lin sambil menyinggung lembut rusuk abangnya.  Timbul rasa belas melihat abangnya.  Tadi Andy nampak tenang.  Tapi selepas satu jam dan mereka masih menunggu, riak gusar sudah terpamer di wajah abangnya.

                “Tak apa, aku tunggu sampai doktor panggil kita masuk.” 

                “Malam ini malam raya.  Kau baliklah.  Kasihan isteri kau mesti mau sama-sama bakar lemang dengan kau.  Tadi pun kau buka puasa dengan air dan roti saja.  Pergilah balik.”  Siew Lin memujuk abangnya.  Dua orang lelaki dalam hidupnya adalah lelaki yang degil.  Cuma antara dua orang itu, papa mereka lebih kuat degilnya.

                “Ain faham.  Aku dah call dia tadi dan cerita semuanya.”

                “Memang dia faham, tapi lebih baik kalau kau ada di rumah dengannya.  Baliklah.  Aku dan mama boleh tunggu papa.  Apa-apa hal nanti aku telefon kau.”  Siew Lin terus memujuk.  Andy diam tidak berkutik.   Lama, sebelum dia akhirnya membuka mulut.

                “Lin, papa sakit sebab kecil hati dengan aku ke?”  Persoalan yang mengganggu fikirannya dilontarkan keluar.  Rasa bersalah dan menyesal masih bersilang seli dalam hatinya.  Dua hari lepas ketika berbual dengan mamanya dalam telefon, dia tidak menyangka demam papanya seteruk ini.

                “Entahlah.  Papa marah sangat bila kau kata tak mau terlibat lagi dengan kedai.  Siapa lagi yang papa boleh harap kalau bukan engkau.  Aku belum habis belajar, lagi pun aku tak minat bisnes.”  Siew Lin bersuara dengan perlahan, kalau boleh jangan sampai didengari oleh mamanya.  Cukuplah mama susah hati dengan kesihatan papa mereka, jangan dikusutkan lagi fikirannya dengan hal pertelingkahan Andy dan papa.

                “Papa sayang kau.  Bangsa kita memang sangat memandang tinggi kepada anak lelaki.”

                “Dan aku sudah kecewakan papa.”  Lirih suara Andy memintas.  Ada nada sebak dalam suaranya.  Sebagai anak sulung dan anak lelaki dalam keluarga, dia sudah gagal.

                “Kau bukan sengaja, kan?”  Pujuk si adik walaupun dia juga agak terkilan dengan tindakan abangnya.  Andy diam lagi.  Lama.

                “Ko, kau sudah ada agama.  Aku tau agama kau agama yang baik sebab aku tengok kau sudah baik sekarang.  Tentu agama kau ada cara untuk selesaikan masalah ni.  Kau baliklah.  Mandi, makan, sembahyang.  Kau minta tolong sama Tuhan kau.” 

                Ayat Siew Lin membuatkan Andy berpaling dan matanya melekat lama di wajah adiknya.  Bibirnya dikemam, dengan harapan dapat disorokkan rasa terharu dari riak wajahnya.  Namun kolam matanya penuh juga bila dia melihat kasih sayang seorang adik terpancar dari renungan mata Siew Lin.


Demi Tuhan, airmatanya jatuh usai dia menunaikan solat sunat Aidil Fitri yang julung kali dalam hidupnya.  Dia tidak pasti kenapa.  Mungkin kerana satu perasaan yang tidak mampu diungkapkan menyelinap masuk ke dalam tangkai hatinya ketika dia mengangkat takbir ratul ihram, atau kerana sebelum beredar ke masjid tadi Ain menyalami dan menciumi tangannya sambil meminta maaf atau mungkin juga kerana SMS dari Siew Lin yang diterima sebaik saja dia sampai di masjid.

                Ramli yang nampak menantunya mengesat airmata menepuk lembut bahu Andy.  Dia tahu kemelut antara Andy dan papanya.

                “Ada berita dari hospital?”  Soal Ramli sambil mereka berjalan ke arah kereta. 

                “Ada.  Adik kata papa sudah jaga.  Doktor mahu papa berehat di hospital dulu.”  Itu saja yang Andy maklumkan sambil membuka pintu kereta.  Sebenarnya dalam SMS tadi Siew Lin memberitahu perkataan pertama yang disebut oleh papa mereka sebaik saja terjaga pagi ini ialah ‘Andy mana?  Beritahu dia papa sudah maafkan dia.’

                “Lepas makan nanti kita pergi terus ke hospital.  Mak dan ayah nak ikut sekali.”  Kata-kata Ramli membuahkan lafaz kesyukuran dari bibir Andy.  Dan wajah manis Ain yang sedang melangkah ke arah kereta mereka bersama emaknya semakin menyamankan hati Andy.

               

“Abang, nak tambah lagi lemang?”  Soal Ain sambil menatap wajah kacak Andy.  Pagi ini Andy sangat kacak di mata Ain kerana baju melayu berwarna ungu terung yang tersarung di tubuh Andy menyerlahkan kulitnya yang cerah.

                “Cukuplah.  Dah sebulan tak makan pagi rasa cepat penuh pulak perut ni.”  Jawab Andy sejujurnya.  Walaupun dia sangat menggemari lemang Pak Ramli sejak dia mula berkawan dengan Ain tiga belas tahun yang lalu, pagi ini dia hanya makan dua potong lemang.

                “Tak apa, nanti-nanti boleh makan lagi,” Maznah menyampuk.  Dia gembira melihat Ain dan Andy makan bersama.  Anak dan menantunya sama ceria.  Malam tadi Ain sedikit monyok kerana niatnya hendak mengajar Andy membakar lemang tidak kesampaian.  Ketika Andy pulang dari hospital, semua lemang Pak Ramli sudah siap dibakar.  Andy pula kelihatan letih dan risau ketika dia sampai di rumah malam tadi.

                “Ni mak dah bungkuskan untuk papa, mama dan adik kamu.  Cukup tak sebatang ni?”  Soal Maznah.

                “Eh cukuplah mak.  Saya rasa papa mungkin belum boleh makan lagi.”  Jawab Andy sambil melihat bekas plastik yang ditunjukkan oleh ibu mentuanya.

                “Alah, tak apa.  Kalau Lim dah boleh makan nanti, ayah bakarkan lagi lemang.  Dah cepat makan, kita nak pergi hospital.  Kalau lambat kita bergerak takut orang datang beraya.  Kalau orang dah datang beraya, payahlah ayah nak tinggalkan rumah.  Lagi pun lepas Zohor nanti abang long kamu sampai.”  Ramli pula bersuara.  Dia sudah teruja membayangkan ketibaan anak sulungnya bersama menantu dan dua orang cucu.

                Ain yang juga sudah selesai makan berlalu ke dapur.  Selepas pinggan kotor diuruskan dia berlalu ke kamar tidurnya untuk bersiap.  Sampai di bilik Andy sedang termenung di tubir katil.

                “Abang, kenapa ni?  Pasal papa ke?”  Soal Ain sambil mengambil tempat di sisi Andy.  Tangan suaminya diraih bila Andy diam tidak berkutik.

                “Hari raya ialah hari kemenangan untuk orang-orang yang berpuasa.  Kita menang bila dapat mengawal hawa nafsu.  Tak elok bersedih di hari yang sepatutnya kita raikan dengan gembira.”  Kata Ain lagi.  Kali ini kata-katanya membuatkan Andy berpaling.

                “Abang bukan bersedih.  Abang bersyukur.  Siew Lin kata papa dah maafkan abang.”  Akhirnya berita gembira yang diterima melalui SMS dikongsikan dengan isteri tercinta.

                “Iya?  Alhamdulillah.  Ain tumpang gembira dan bersyukur.”  Ain lakar senyuman di bibir, menzahirkan perasaan gembira kerana kemelut suami dan bapa mentuanya seakan sudah berakhir. 

                “Terima kasih sayang, sebab masakkan lemang untuk abang.”  Andy juga tersenyum.

                “Bukan Ain yang masak, ayah.” 

                “Ya ke?  Sekejap ya.”  Kata Andy lalu bangun dan menuju ke almari.  Sebatang buluh lemang ditarik keluar dari tepi almari.

                “Ini… ayah yang buat jugak?”  Soalnya sambil tersenyum lebar.  Buluh lemang yang berlorek dengan perkataan ‘Ain loves Andy’ disuakan kepada isterinya.  Dan-dan itu pipi Ain membahang.

                “Ini… lemang buat kekasih.”  Jawab Ain sambil tersipu.  Semalam dia mengambil sebatang buluh lemang yang belum berisi dan selepas melorek buluh itu, sengaja disimpan dalam bilik untuk ditunjukkan kepada Andy.  Rupa-rupanya Andy sudah jumpa dulu.

                “Nasib baik Pak Ramli tak mengamuk sebab sebatang buluh tak boleh digunakan kerana anaknya luahkan rasa cinta di atas buluh.”  Kata Andy sambil tersenyum.  Matanya tunak di wajah Ain yang sudah berona merah.  Pipi Ain dicubit lembut.

                “Andy loves Ain too.”  Bisik Andy sambil menarik Ain rapat ke dadanya.  Dada yang sudah berdegup normal kerana satu beban berat seperti sudah ditarik keluar.  Ubun-ubun Ain dikucup sambil bibirnya melafazkan ‘alhamdulillah’.


                Sungguh, hari ini ialah hari kemenangan.